Monday, April 7, 2008

Perang Inggeris-Myanmar 1

Perang Inggeris-Myanmar Pertama, 1824-1826

Pengenalan
Perang Inggeris-Myanmar pada tahun 1824 merupakan peristiwa penting dalam sejarah moden Myanmar. Ia tidak sahaja merupakan peperangan yang pertama dengan kuasa asing (Barat) tetapi ia juga disifatkan sebagai titik peralihan bagi negeri Myanmar. Kekalahan Myanmar dalam peperangan itu memberi satu pengajaran bahawa negeri itu tidak boleh merasa bongkak dan mereka merasa dirinya lebih kuat dari negeri lain. Negeri Myanmar juga harus sedar bahawa negara-negara Barat mempunyai kelebihan dalam peperangan moden. Selain itu, negeri Myanmar terpaksa menamatkan dasar “tutup pintu” (isolasi) yang telah dijalankan begitu lama. Dengan menandatangani Perjanjian Yandabo, pada tahun 1826, negeri Myanmar telah mengadakan hubungan dengan British.

Sebab-sebab berlakunya peperangan
1. Dasar meluaskan wilayah
Pada pertengahan kurun ke-18, Alaungpaya telah menakluki Pegu, lalu mendirikan dinasti baru diberi nama Konbaung pada tahun 1752. Dengan pembentukan dinasti baru ini bermakna Alaungpaya telah berjaya menyatukan semula Myanmar. Pengganti-pengganti Alaungpaya kemudiannya telah meluaskan lagi wilayah mereka hingga membawa kepada sempadan Timur India. Pada tahun 1784, Raja Bodawpaya (1782-1819) iaitu anak Alaungpaya yang terakhir memerintah, berjaya menakluki Arakan sebuah kerajaan yang bebas. Raja Arakan bernama Thamada terpaksa melarikan diri tetapi telah ditangkap pada Februari 1785 lalu dibawa ke Myanmar. Selepas menakluki Arakan, tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas Siam tetapi gagal. Tentera Myanmar hanya berjaya menawan Chiengmai dan itu pun dapat diusir oleh Siam. Dengan penaklukan Arakan telah membimbangkan Inggeris kerana sempadan Myanmar telah mara ke Benggala. Selain itu, Raja Bodawpaya juga bercita-cita hendak menakluki China dan India terutama di kawasan Manipur dan Assam.
2. Masalah orang pelarian Arakan
Apabila Arakan terletak di bawah kekuasaan Myanmar maka tindasan-tindasan terhadap orang Arakan telah dilakukan. Orang-orang Arakan telah dikerah secara paksa untuk bekerja sebagai buruh dan bertugas dalam perkhidmatan kerajaan. Dengan adanya tindasan dari pemerintah Myanmar, pada tahun 1794 telah terjadi stu pemberontakan dengan dibantu oleh orang-orang Arakan yang telah melarikan diri dan menetap di Chittagong. Pemberontakan itu dapat dikalahkan menyebabkan ramai orang-orang Arakan melarikan diri ke tanah jajahan Inggeris. Peristiwa itu dipandang berat oleh British dan masuk menghalang kemaraan tentera Myanmar maka British menghantar tenteranya ke sempadan di bawah Kolonel Erskine. Dengan ini, pelarian orang-orang wilayah Arakan ke wilayah British telah menimbulkan persengketaan antara British dan Myanmar.
Untuk menyelesaikan masalah sempadan, maka pada tahun 1795, British telah menghantar Kapten Michael Seymes ke Myanmar. Kapten Seymes juga telah mengesyorkan supaya satu perjanjian perdagangan antara Myanmar dengan Inggeris diadakan. Hasil dari perundingan itu, pemerintah Myanmar bersetuju menerima seorang wakil British bertempat di Rangoon untuk menjaga hal-ehwal perniagaan British di Myanmar.
Sungguhpun British dibenarkan melantik residennya di Rangoon keamanan hubungan antara British dan Myanmar sentiasa diancam oleh orang pelarian Arakan. Pada tahun 1798, timbul sekali lagi pemberontakan di Arakan tetapi gagal menyebabkan mencurah-curah orang pelarian Arakan memasuki Chittagong. Disebabkan ramai orang Arakan memasuki Chittagong dan mengancam pemerintah Myanmar di Arakan maka pada Januari 1802, pemerintah Arakan atas nama Kerajaan Myanmar mendesak British menyerahkan orang-orang pelarian Arakan kepada Kerajaan Myanmar. Myanmar juga menggugat akan menyerang India sekiranya tuntutan itu tidak ditunaikan. Dengan adanya ancaman tersebut, maka British menyerahkan pasukan tenteranya untuk mengawal sempadan antara India dan Myanmar. Untuk menyelesaikan masalah pertikaian mereka maka British menghantar Kapten Syemes ke Myanmar pada Mei 1802 bagi mengadakan perdamaian.
Masalah orang-orang Arakan menjadi kemuncak apabila pada tahun 1811, satu pemberontakan di bawah pimpinan Chin Byan telah meletus. Chin Byan secara diam-diam telah mengumpulkan kekuatannya di wilayah British lalu menyerang Myanmar dengan menawan Miohaung. Chin Byan telah meminta bantuan British dengan membuat satu perjanjian untuk meletakkan wilayah di bawah tadbirnya di bawah kedaulatan British. Hal ini telah meruncingkan hubungan antara British dengan Myanmar. Untuk menyakinkan Kerajaan Myanmar bahawa British tidak terlibat dalam tindakan Chin Byan itu maka dalam September 1811, Kapten Canning diutus ke negeri Myanmar. Pemerintah Arakan telah mengancam untuk menyerang Chittagong jika orang-orang pelarian tidak diserahkan. Peperangan dapat dielakkan apabila tentera Myanmar yang berada di sempadan terpaksa ditarik balik pada musim tengkujuh. Untuk mendapatkan kepercayaan Myanmar maka pada akhir tahun 1812, Inggeris berjaya melumpuhkan sebahagian besar pasukan Chin Byan. Pergerakan Chin Byan lumpuh sama sekali apabila Chin Byan meninggal dunia pada tahun 1815. Sungguhpun pergerakan Chin Byan dapat diatasi oleh British, tetapi hubungan baik di antara British dengan Myanmar masih tidak terjamin.
3. Keengganan Myanmar mengadakan hubungan diplomatik
Orang-orang Inggeris ingin mengadakan hubungan yang baik dengan Myanmar. Keinginan British mengadakan hubungan selain disebabkan faktor politik iaitu cuba bersaing dengan pengaruh Perancis, ada juga faktor-faktor ekonomi. Pihak kompeni ingin:
a. Mendapatkan kayu balak dari Myanmar untuk membuat kapal.
b. Menjadi Myanmar sebagai pasaran bagi barang British.
c. Menggunakan Myanmar sebagai jalan darat ke negeri China dengan melalui Sungai Irrawaddy.
Malangnya, orang Myanmar mempunyai pandangan hidup yang berlainan. Seperti orang China, orang Myanmar mempunyai sikap bongkak dengan anggapan bahawa mereka mempunyai darjat tinggi. Oleh itu, mereka merasa bahawa taraf mereka akan jatuh jika mereka mengadakan hubungan yang sama taraf dengan British, lebih-lebih lagi pihak kompeni bukan mewakili Kerajaan British. Oleh sebab sikap pemerintah dan pegawia Myanmar sedemikian rupa, wakil-wakil British gagal untuk mengadakan perhubungan sama taraf dengan Myanmar. Kebanyakan dari mereka terpaksa meninggalkan Myanmar kerana merasakan kecewa atas tindakan pemerintah Myanmar. Misalnya seperti yang terjadi pada Residen Hiram Cox yang dilantik pada tahun 1796 terpaksa meninggalkan Myanmar pada April 1798. Dengan pemergian Cox maka Myanmar tidak membenarkan perlantikan residen di negeri itu. Setelah mengadakan perundingan dengan Kapten Seymes, Raja Bodawpaya memperkenankan perlantikan residen di negeri itu. Dalam bulan Mei 1803, Lieutenant John Canning telah dilantik sebagai residen tetapi beliau terpaksa pulang ke India dalam November 1803. Peristiwa ini mengecewakan British untuk melantik residennya di Myanmar.
4. Campur tangan Myanmar di Assam
Seperti yang diterangkan bahawa Raja Bodawpaya mempunyai cita-cita untuk menakluki India terutamanya wilayah di Timur Laut seperti Manipur dan Assam dan seterusnya Benggala. Untuk mencapai maksudnya maka Bagydaw telah melantik Bandula menjadi gabenor pertama bagi Assam dan Arakan. Rancangan untuk meletakkan Assam di bawah kekuasaan Myanmar terbuka apabila berlaku huru-hara di kawasan itu. Pada akhir kurun ke-18, pengaruh Kerajaan Ahom merosot. Raja Ahom yang bernama Gaurinath Singh merupakan raja yang lemah. Orang-orang Moamarias yang selama ini ditindas oleh mereka telah memberontak. Untuk menghadapi pemberontakan ini, baginda meminta bantuan British tetapi memandang sepi.
Keadaan huru-hara timbul kembali apabila berlaku pertentangan di antara Bar Phukan dengan Burha Gohain. Bar Phukan telah berangkat ke Calcutta untuk mendapatkan pertolongan British tetapi gagal. Dengan itu, Bar Phukan pun berpaling pula kepada Raja Bodawpaya. Menggunakan peluang ini, pada Mac 1817, tentera Myanmar mara ke Jorhat dan melantik seorang raja boneka tetapi sebaik sahaja tentera Myanmar pulang, raja boneka itu digulingkan. Tentera Myanmar kembali ke Assam pada tahun 1819 lalu melantik Chandrakanta Singh menjadi Raja Assam. Nasib yang sama diterima olehnya sebaik-baik sahaja tentera Myanmar kembali ke Myanmar. Oleh sebab dipengaruhi oleh perasaan takut, Chandrakanta Singh melarikan diri ke India. Keadaan yang tidak aman di Assam menyebabkan Bagydaw (cucu Bodawpaya) yang menjadi raja pada tahun 1819 melantik Bandula menjadi Gabenor Assam selepas menaklukinya.
Selepas menakluki Assam, Myanmar meneruskan perluasan wilayahnya ke Manipur. Raja Myanmar telah menggunakan peristiwa kegagalan Raja Manipur menghadiri pertabalan Bagydaw menjadi raja sebagai alasan untuk menguasai kawasan itu. Oleh sebab ketakutan, maka raja dan pengikutnya melarikan diri ke Cacar. Raja Cacar yang negerinya dirempuh oleh orang-orang pelarian Manipur dan takutkan ancaman Myanmar telah melarikan diri ke India. Dengan kemaraan tentera Myanmar yang begitu jauh telah membimbangkan British. British sedar jika kemaraan Myanmar tidak dihalang bermakna wilayah Benggala yang terletak di bawah kekuasaan British akan terancam. Oleh itu, British terpaksa mengambil satu tindakan yang tegas dengan mengisytiharkan wilayah Cacar dan wilayah kecil lainnya seperti Jaintia terletak di bawah pengaruh British.
Ketegangan menjalar pula ke sempadan Arakan apabila Jeneral Bandulu mengalihkan pandangannya ke wilayah itu. Jeneral Bandula sememangnya ingin menguasai wilayah Benggala. Tentera Myanmar telah memasuki kawasan Ramu lalu menangkap pemburu gajah dari pihak kompeni. Peristiwa itu menyebabkan British menguatkan pertahanannya di Tek Naaf dan di Pulau Shahpuri yang terletak di muara sungai berhampiran dengan Chittagong. Tentera Myanmar telah menawan pulau tersebut dalam bulan September 1823 tetapi dapat kembali kemudiannnya oleh British. Selepas peristiwa itu, Jeneral Bandula telah menyiapkan angkatan secara besar-besaran untuk menyerang Chittagong. Menggunakan peristiwa itu pada 5 Mac 1824, Gabenor Jeneral Lord Amherst mengisytiharkan perang ke atas Myanmar.

Peristiwa dan kesan peperangan
Setelah peperangan diisytiharkan maka tenterra British telah dihantar ke wilayah yang disempadankan dengan Myanmar. Tentera British telah ditempatkan di Manipur dan Assam serta penumpuan yang besar di Arakan. Dari Arakan, tentera British akan menyerang Tennaserim. Jeneral Bandula menunjukkan kebolehannya dengan mengalahkan tentera British dan Tek Naaf dan ini menyebabkan Calcutta terancam. Tetapi malangnya ketika Bandula mendapat kejayaan di Tek Naaf, tentera British di bawah Sir Archibald Campbell yang berpusat di Pulau Andaman telah berjaya menawan Rangoon dalam bulan Mei 1824 tanpa perlawanan. Kejatuhan Bandar Rangoon menyebabkan Bandula terpaksa bergerak menuju ke Selatan. Tentera British tidak dapat bergerak mudik mengikut Sungai Irrawaddy kerana berlakunya hujan monsun yang lebat. Tentera kekurangan bantuan dan makanan. Untuk menggunakan jalan darat agar sukar kerana penuh dengan hutan belantara. Kelewatan tentera British bergerak telah memberi peluang kepada Bandula menguatkan pasukan tenteranya. Pada 1 Disember 1824, Bandula melakukan serangan tetapi gagal.
Sementara itu, di medan pertempuran di pantar Barat, tentera British telah menawan pelabuhan penting di Tennasserim dan pada Januari 1825 mereka menawan Mrohaung. Kejayaan ini membolehkan British menguasai Arakan.
Kekuatan tentera Myanmar telah tergugat pada 1 April 1825 apabila Jeneral Bandula mati semasa mempertahankan bandar Danubyu. Kematiannya membolehkan British menduduki Prome. Tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas tentera British di Prome tetapi gagal. Setelah berjaya mengalahkan tentera Myanmar di Prome, tentera British diarahkan bergerak menuju ke Ava. Tetapi sebelum tentera British tiba di Yandobo, pemerintah Myanmar telah bersetuju untuk berdamai dan dengan ini pada 24 Februari 1926, Perjanjian Yandabi ditandatangani di antara British dan Myanmar. Syarat-syarat Perjanjian Yandabo ialah:
a. Myanmar menyerahkan Assam, Arakan dan Tennasserim kepada British.
b. Myanmar tidak akan campur tangan di Cacar, Manipur dan Jaintia yang menjadi wilayah perlindungan British.
c. Myanmar bersetuju menerima wakil British yang bertempat di Rangoon dan juga lain-lain kawasan di Myanmar.
d. Myanmar bersetuju mambayar ganti rugi sebanyak 10 juta rupee (kira-kira $5 juta) kepada Inggeris.
e. Myanmar bersetuju mengadakan hubungan diplomatik dengan British dengan menghantar seorang dutanya ke Calcutta.
f. Myanmar bersetuju hendak berundingkan berkenaan dengan perjanjian perdagangan dengan British pada masa akan datang.
Perjanjian Yandabo telah dapat menghentikan peperangan antara kedua-duanya namun pada hakikatnya ia tidak dapat menyelesaikan sikap permusuhan Myanmar kepada British. Bagi orang-orang Myanmar, kekalahan mereka dalam pertempuran bukanlah disebabkan mereka pengecut tetapi disebabkan lain-lain perkara. Anggapan ini menunjukkan dengan jelas bahawa orang-orang Myanmar masih mempunyai keyakinan mereka akan dapat mengalahkan British. Orang yang benar-benar merasa kurang puas hati ialah Raja Bagydaw dan ia menggunakan Perjanjian Yandabo untuk mempersiapkan diri. Dengan sikap permusuhan yang masih ada di diri orang Myanmar menyebabkan Perjanjian Yandabo tidak dijalankan dengans sempurna. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada British. Unsur-unsur ini telah mencetuskan peperangan yang kedua yang dikenali sebagai Perang Inggeris-Myanmar Kedua pada tahun 1852.

No comments: