Bincangkan peperangan-peperangan dan perjanjian-perjanjian yang melibatkan kuasa asing Inggeris dan Perancis di Asia Tenggara.
Sejak abad ke-19, kuasa asing mula campur tangan di negara-negara di Asia Tenggara. Sebabnya adalah untuk kepentingan perdagangan dan keselamatan. Dua kaedah digunakan oleh kuasa asing untuk campur tangan iaitu dengan peperangan dan perjanjian. Dengan menggunakan perjanjian, ia memberi keuntungan yang lebih kepada kuasa Barat sama ada jangka panjang atau jangka pendek. Biasanya, kuasa tempatan berada dalam keadaan tertekan kerana tidak terdapat pilihan. Dengan menggunakan pendekatan peperangan, kuasa Barat biasanya mempunyai kelebihan yang amat ketara dari sudut teknologi ketenteraan, peperangan dan persenjataan. Mereka mempunyai alatan yang canggih dan kaum pribumi sering kali akan kalah.
Di Myanmar, campur tangan British bermula dengan Perang Inggeris-Myanmar Pertama (1824-1826). Perang ini berlaku kerana terdapatnya beberapa sebab. Salah satunya ialah dasar peluasan wilayah yang dilakukan oleh Myanmar. Pada tahun 1752, Alaungpaya mendirikan Dinasti Konbaung. Baginda berjaya mnyatukan negara Myanmar. Penggantinya pula berusaha meluaskan wilayah Myanmar. Raja Bodawpaya telah menakluki Arakan pada tahun 1784. Penaklukan ini membimbangkan British kerana sempadan Myanmar telah mara ke Benggala. Seterusnya masalah orang pelarian Arakan timbul. Kezaliman Myanmar terhadap penduduk Arakan memberontak telah memberontak tetapi gagal. Pemberontak ini melarikan diri ke tanah jajahan British. Tentera Myanmar telah masuk ke kawasan British. British memandang berat peristiwa ini dan menghalang kemaraan Myanmar. Hal ini telah menjadi punca persengketaan mereka. Pada tahun 1798, berlaku lagi pemberontakan tetapi gagal. Ramai orang Arakan masuk ke Chittagong. Myanmar mendesak agar British menyerahkan orang pelarian ini. Untuk menyelesaikan pertikaian, satu rundingan damai diadakan. Seterusnya, pada tahun 1811, satu pemberontakan pimpinan Chin Byan meletus. Chin Byan meminta bantuan British. Bagi menunjukkan British memanglah tidak terlibat dalam pemberontakan ini, Kapten Canning di utus ke Myanmar. Pada tahun 1812, sebahagian pasukan Chin Byan dilumpuhkan oleh British. Pada tahun 1815, Chin Byan meninggal dunia. Faktor yang menyebabkan perang ini juga disebabkan oleh keengganan Myanmar mengadakan hubungan diplomatik dengan British. Walaupun terdapat Residen-residen British yang dilantik, tetapi sikap pemerintah Myanmar telah mengecewakan mereka. Akhir sekali, campur tangan Myanmar di Assam turut menyebabkan meletusnya perang ini. Myanmar telah menggunakan kesempatan untuk menjajah Assam apabila berlakunya huru-hara di situ. Myanmar kemudian mara ke Manipur dan seterusnya. British bimbcang lalu pada 5 Mac 1824 mengisytiharkan perang ke atas Myanmar.
Peperangan ini ditamatkan dengan Perjanjian Yandabo yang ditandatangano pada 24 Februari 1826. Melalui perjanjian ini, Myanmar bersetuju menyerahkan Assam, Arakan dan Tenasserim kepada British. Myanmar juga bersetuju tidak campur tangan di Cacar, Manipur dan Janitia. Di samping itu, Myanmar akan menerima seorang wakil British bertempat di Rangoon. Myanmar juga akan membayar ganti rugi sebanyak $5 juta kepada British. Perhubungan diplomatik antara mereka juga diwujudkan dengan Myanmar menghantar seorang duta ke Calcutta. Myanmar juga bersetuju hendak berundingkan berkenaan dengan perjanjian perdagangan dengan British pada masa akan datang.
Walaupun Myanmar kalah dalam perang ini, tetapi mereka masih bersikap sombong. Atas beberapa sebab lagi, Perang Inggeris-Myanmar Kedua (1852) telah berlaku. Sebab-sebab ini adalah kegagalan mengadakan hubungan diplomatik dengan Myanmar, sikap anti British orang Myanmar dan layanan buruk ke atas rakyat British dan rakyat Myanmar. John Crawford telah menjadi Residen British pada September 1826. Pada November, beliau cuba mengadakan perjanjian perdagangan tetapi gagal. Crawford berasa kecewa lalu meninggalkan Rangoon. Henry Burney telah menggantikannya pada April 1830. Beliau mendapat kepercayaan dari Bagydaw. Pada tahun 1837, Tharawwaddy membunuh semua ahli keluarga dan pengikut Minthagyi kerana Minthagyi cuba merampas kuasa semasa Bagydaw tidak siuman. Tindakan Burney menghalang Tharawwaddy menyebabkan beliau marah. Tharawwaddy ini memanglah bersikap anti British. Beliau tidak mengakui Perjanjian Yandabo. Beliau menolak penubuhan tapak residensi British di Rangoon tetapi digantikan satu tempat yang mudah banjir di Lembah Sungai Irrawaddy. Pada tahun 1846, Pagan Min menggantikan Tharawwaddy. Beliau merupakan seorang anti British dan kejam. Beliau bersama pegawainya seperti Maung Ok bertindak menganiayai orang British. Pada bulan Julai dan Ogos 1851, Maung Ok menghukum 2 kapten kapal bangsa Inggeris dengan hukuman 1000 rupee kepada dituduh membunuh. Lord Delhoesie bertindak untuk mendesak supaya Maung Ok dipecat. Pada tahun 1852 (Februari), British menuntut ganti rugi sebanyak 1 juta rupee. Apabila tarikh tuntutan tamat, maka pada 1 April 1852, perang ke atas Myanmar diisytiharkan.
Semasa itu, Myanmar masih belum bersedia. Dengan senangnya, Rangoon, Martaban dan Bassain telah dikuasai. Pada November 1852, Pegu dan Prome ditawan. Pada bulan Disember 1852, Major Arthur Purve mengisytiharkan Pegu sebagai sebahagian dari wilayah Britsish seperti Arakan dan Tenaserrim.
Walaupun dua kali kegagalan ditemui tetapi mereka masih tidak sedar. Mereka terus ingin mempertahankan maruah dan mendapat balik semula wilayah yang diambilalih British. Bagi British, memanglah mereka merancang untuk mengambil Myanmar Utara. Maka dengan sebab-sebab lain lagi, Perang Inggeris-Myanamr Ketiga (1885) telah berlaku. Salah satu sebab ialah kegagalan hubungan diplomatik diadakan. Raja Thibaw yang menaiki takhta masih bersikap anti British. Baginda mengadakan hubungan dengan Perancis. Akibatnya, British menarik semula residensinya. Seterusnya, kekacauan di Myanmar Utara turut dijadikan sebab berlaku perang ketiga ini. Raja Thibaw telah membunuh kerabat diraja, sehingga akhirnya pemberontakan berlaku. Selain itu, pemberontakan juga dilakukan oleh suku Syan dan Kachin. Pemberontakan ini menyebabkan kematian saudagar British. Desakan dari saudagar British juga menyebabkan meletusnya perang ini. Para saudagar ingin menjadikan Myanmar Utara sebagai pasaran baru mereka. Selain itu, mereka juga ingin menjalankan perdagangan dengan Yunnan melalui pembukaan jalan Moulmein-Yunnan. Seterusnya, tekanan dari Perancis juga menyebabkan perang ini berlaku. Myanmar mendapatkan bantuan senjata dari Perancis untuk menentang British. Kemuncak hubungan Myanmar-Perancis ialah bila perjanjian di mana seorang konsul Perancis dilantik di Mandalay ditandatangani pada tahun 1885. British amat bimbang. Seterusnya, perubahan pucuk pimpinan di England dari parti liberal ke parti konservatif juga menyebabkan perang ketiga ini berlaku. Akhir sekali, tindakan Myanmar mendenda Syarikat Perdagangan Bombay-Burma (SPBB) juga menyebabkan perang ini berlaku dengan serta-merta. Myanmar mendenda SPBB sebanyak 2.3 juta rupee kerana ia dituduh tidak membayar cukai import, memberi rasuah dan sebagainya. British mendesak agar kes ini diselesaikan melalui orang tengah. Kata dua British tidak disambut. Maka pada 11 November 1885, perang ke atas Myanmar diisytiharkan.
Serangan British tidak mendapat tentangan hebat tentera Myanmar. Raja Thibaw di Mandalay begitu yakin dengan kejayaan yang akan diterima berdasarkan berita yang dipalsukan. Apabila British menawan Ava, Raja Thibaw bersetuju menyerah kalah. Baginda bersama isterinya telah dibuang negeri ke India pada 11 Januari 1886. Penawanan Myanmar Utara bermaksud Dinasti Konbaung telah tamat. Selain itu, pemerintahan beraja di Myanmar juga dihapuskan. Kini, Myanmar menjadi tanah jajahan British dan diletak di bawah Kerajaan India.
Di negeri Thai, hubungan Raja Chulalongkorn dengan British kurang baik. walaupun Thai pada masa itu menjalankan dasar buka pintu tetapi baginda masih mendapat tekanan dari British. Pada tahun 1909, Perjanjian Bangkok telah ditandatangani. Mengikut perjanjian ini, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu diserah kepada British. Sebagai balasan, British tidak campur tangan dalam hal-ehwal pentadbiran Thai.
Bagi Perancis, mereka juga memberi tekanan kepada Siam. Perancis ini bergiat di kawasan Indo-China dengan mengadakan tuntutan wilayah. Oleh sebab hubungan Thai dan Perancis dalam keadaan yang genting, maka Raja Chulalongkorn bertindak menyerahkan wilayah yang dituntut. Melalui perjanjian-perjanjian yang diadakan, beberapa wilayah telah diserahkan. Antaranya ialah wilayah di tebing Sungai Mekong (1886), wilayah di Tongking Utara (1888), wilayah di sebelah Timur Sungai Mekong termasuk Luang Prabang (1893) dan wilayah Battambang dan Siemreap (1907). Dengan itu, seluruh Indo-China jatuh ke tangan Perancis.
Sudahpun diketahui Perancis bergiat di Indo-China. Kehadiran Perancis di kawasan ini turut mendapat tentangan. Semasa Maharaja Tu Duc, keadaan anti Kritstian memuncak. Pada tahun 1852, Paderi Augustin Schoeffler dibunuh. Perancis tidak bertindak. Kemudian Paderi Jean-Louis dibunuh. Raja Napoleon III pun bertindak menyerang Vietnam. Pada 1 September 1858, de Genouilly menyerang Tourance. Kemudian, tenteranya mara ke Saigon dan menaklukinya pada 17 Februari 1859. Pada tahun 1862, Maharaja Tu Duc kalah. Satu perjanjian ditandatangani. Menurutnya, 2 wilayah Timur Cochin-China diserah kepada Perancis. Pelabuhan Tourance, Balat dan Kuang Anh dibuka kepada Perancis; kapal Perancis dibenarkan belayar di Sungai Mekong dan mubaligh dibenarkan menyebarkan agama Kristian.
Seterusnya, Perancis meminta Raja Napoleon dari Kampuchea membayar ufti kepadanya. Siam menentang. Pada tahun 1867, perjanjian ditandatangani bagi menyelesaikan masalah ini. Mengikut perjanjian, Perancis mengaku kedaulatan Siam di Battambang dan Siem Reap. Manakala Siam menarik semula tuntutannya. Kampuchea menjadi negeri naungan Perancis.
Perluasan kuasa tidak berhenti di situ. Perancis kemudian mengilhakan kawasan Tongking. Pada tahun 1873, Perancis merampas Hanoi dan lain-lain kubu seperti Haiphong dan Ninh Binh. Seterusnya pada tahun 1882, Kapten Henry Riviere menyerang dan merampas Hanoi. Pada tahun 1883, Tongking dikuasai. Maharaja Hiep Hoa bersetuju berdamai. Satu perjanjian ditandatangani. Menurutnya, Vietnam menjadi negeri lindungan Perancis, Binh Thuan diserahkan kepada Perancis dan Vietnam menarik balik semua angkatannya di Tongking.
Selepas itu, Perancis menaruh minat terhadap Laos. Pada tahun 1886, Perancis menuntut kawasan sebelah Timur Sungai Mekong termasuk Luang Prabang. Perancis melantik Auguste Pavie sebagai Naib Konsular di Luang Prabang. Siam telah membantu pemberontak Cina yang melarikan diri ke Sip Song Chu Thai, sementara itu, Auguste Pavie membantu Raja Luang Prabang menentang pemberontak itu. Pada tahun 1888, Auguste mengambilalih Sip Song Chu Thai. Raja Luang Prabang ditabal semula. Pada tahun 1892, Auguste menjadi Residen Menteri di Bangkok. Beliau mendakwa wilayah sebelah Barat Mekong sebagai hak Perancis. Siam tidak mengakuinya. Pada tahun 1893, 2 kapal Perancis tiba di Paknam tetapi dibedil oleh Siam. Kapal ini berjaya mengalahkan Siam dan terus belayar ke Bangkok. Siam bersetuju berdamai dan menyerahkan wilayah Barat Sungai Mekong. Siam juga bersetuju mengundurkan tenteranya dari Battambang dan Siem Reap. Wilayah itu disatukan menjadi Laos, manakala Luang Prabang dikekalkan sebagai negeri naungan di bawah rajanya.
Dasar campur tangan yang diamalkan oleh kuasa Barat ini menyebabkan banyak negara di rantau Asia Tenggara dikuasai oleh kuasa Barat sama ada melalui perjanjian ataupun peperangan. Kehadiran kuasa Barat telah menimbulkan pelbagai perubahan. Perubahan ini telah menjejaskan kepentingan pembesar tempatan. Lalu, ramai daripada mereka telah bangun memberontak.
oleh SP Star
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment