Saturday, March 29, 2008

Sejarah Vietnam

Pengilhakan Perancis di Vietnam, Kampuchea dan Laos

Pengenalan
Maharaja Gia Long mengadakan hubungan baik dengan Perancis. Perlantikan Bishop Pigneau sebagai Menteri Besar mengeratkan lagi hubungan Vietnam dan Perancis. Namun, selepas tahun 1820, keadaan telah berubah. Penggantinya Minh Mang, menjalankan dasar tutup pintu. Baginda mengeluarkan perintah untuk melarang kemasukan mubaligh Kristian. Thien Tri (penggantinya) meneruskan dasar ayahandanya. Keadaan menjadi tegang semasa pemerintahan Tu Duc (1848-1883). Oleh sebab penekanan yang teruk maka Perancis telah mengambil tindakan untuk menakluki Vietnam.

Pengilhakan Tourane dan Saigon di Vietnam
Semasa Tu Duc, keadaan anti Kristian memuncak. Pada tahun 1852, Paderi Augustin Schoeffler dibunuh dan seterusnya Paderi Jean-Louis Bonnard (1852). Akibatnya, Napoleon III mengambil tindakan menakluki Vietnam. Alasannya ialah pembunuhan Bishop Diaz di Tongking. Pada 1 September 1858, de Genouilly menyerang Tourance dan menaklukinya pada hari esok. Kemudian, tenteranya menuju ke Saigon dan menakluki Saigon pada 17 Februari 1859. Pada tahun 1862, Maharaja Tu Duc menyerah kalah. Satu perjanjian damai ditandatangani, menurutnya:
a. 3 wilayah Timur Cochin-China diserah kepada Perancis.
b. Pelabuhan Tourance, Balat dan Kuang Anh dibuka kepada Perancis.
c. Kapal Perancis dibenarkan belayar di Sungai Mekong.
d. Mubaligh dibenarkan menyebarkan agama Kristian.

Pengilhakan Kampuchea
Kampuchea membayar ufti kepada Vietnam dan Siam bagi menjaga kemerdekaannya. Pada tahun 1862, Raja Norodom diminta membayar ufti kepada Perancis oleh Laksamana Bonnard. Pada tahun seterusnya, baginda dipaksa menandatangani satu perjanjian dengan Perancis bagi menghentikan pembayaran ufti kepada Vietnam dan Siam. Siam menentang hebat campur tangan Perancis. Pada tahun 1867, satu perjanjian ditandatangani bagi menyelesaikan masalah ini. Menurut perjanjian ini, Perancis mengakui kedaulatan Siam terhadap Battambang dan Siemreap, manakala Siam menarik balik segala tuntutannya. Dengan itu, Kampuchea menjadi negeri naungan Perancis dan Raja Norodom menjadi raja boneka.

Pengilhakan di Tongking
Tujuan pengilhakan di Tongking ialah meluaskan pengaruhnya dari segi perdagangan dan kebimbangan akan persaingan kuasa Barat lain. Penindasan Maharaja Tu Duc terhadap orang Kristian juga memaksa Perancis menakluki Tongking. Pada Disember 1873, Perancis merampas Hanoi dan lain-lain kubu pertahanan seperti Haiphong dan Nihn Ninh. Seterusnya, pada tahun 1882, Kapten Henry Riviere telah menyerang dan merampas Hanoi dan Tongking pada tahun 1883. Pada Ogos 1883, Maharaja Hiep Hoa (pengganti Tu Duc) bersetuju menandatangani perjanjian damai, menurutnya:
a. Vietnam menjadi negeri lindungan Perancis.
b. Binh Thuan diserahkan kepada Perancis.
c. Vietnam menarik balik semua angkatannya di Tongking.

Pengilhakan di Laos
Perancis membantah Laos menghantar ufti kepada Siam dan mendakwa Laos harus menghantar ufti kepadanya. Pada tahun 1886, Perancis menuntut kawasan di sebelah Timur Sungai Mekong termasuk Luang Prabang. Laos membantah kuat tuntutan Perancis. Hal ini menyebabkan Perancis melantik Auguste Pavie sebagai Naib Konsular di Luang Prabang. Siam pula membantu pemberontak Cina yang melarikan diri ke wilayah Sip Song Chu Thai, sementara itu, Auguste Pavie membantu Raja Luang Prabang menentang pemberontak itu. Pada tahun 1888, Auguste mengambil alih Sip Song Chu Thai. Raja Luang Prabang ditabalkan semula. Pada tahun 1892, Auguste menjadi Residen Menteri di Bangkok. Beliau mendakwa wilayah sebelah Barat Sungai Mekong sebagai hak Perancis. Siam tidak mengakui tuntutan itu. Pada tahun 1893, 2 kapal Perancis tiba di Paknam tetapi dibedil oleh Siam. Walau bagaimanapun, tentera Siam juga dikalahkan dan kapal Perancis terus belayar ke Bangkok. Siam akhirnya bersetuju berdamai dan menyerahkan wilayah Barat Sungai Mekong. Siam juga berjanji mengundurkan tenteranya dari Battambang dan Siemreap. Wilayah itu disatukan menjadi Laos, manakala Luang Prabang dikekalkan sebagai sebuah negeri naungan di bawah rajanya.



No comments: